DPF

Salam Sejahtera,

Alkisahnya di OdD berkaitan  orkid Coelogyne asperata. Ceologyne asperata antara spesis yang mudah membiak. Mungkin ada diantara pembaca yang pernah melihat orkid ini di habitat asal. Ianya mudah didapati di sekitar pesisir sungai dan kawasan air terjun khususnya di lata percutian di Malaysia. Ada sesetengahnya hidup di atas pokok, tebing batu serta diatas tanah di tepi sungai di dalam hutan negara kita.

Jika pembaca pernah berada sepanjang hari dihabitat asal, tuan - tuan akan dapat merasai persekitaran yang diperlukan oleh orkid ini. Soalnya mampukah kita menyediakan persekitaran yang sama dengan habibat asalnya. Jika soalan itu yang diajukan kepada OdD, jawapan OdD: Tidak.

Jadi, bagaimana kita nak menanam orkid jenis ini di halaman kita? OdD tak pasti bagaimana peminat orkid melakukan nya. Disini OdD berkongsi cara yang OdD biasa lakukan.

Coelogynea asperata ini ada yang OdD perolehi dari peraih, cuma ada sepokok yang OdD perolehi di kawasan air terjun (lata percutian) di utara Semenanjung. Anak pokok yang OdD perolehi di kawasan ini cuma bersaiz 3 inchi sahaja, dari dipijak orang OdD bawa pulang untuk di tanam. Setelah hampir 3 tahun, inilah hasilnya.



Pokok ini OdD tempatkan dibawah pohon mangga, dimana diatasnya masih terdapat jaring teduhan sekitar 50%, akan tetapi cahaya matahari pagi masih boleh melimpahi pohon orkid ini.


Ini satu lagi pokok Coelogyne asperata, bezanya dengan yang diatas, yang ini di dedahkan dengan cahaya yang lebih dari 50% teduhan. Pasti ada yang tertanya-tanya, bagaimana pokok ini mampu bertahan dengan terik panas matahari? Pada asalnya pokok ini diletakkan dibawah teduhan pokok ulaman (putat). Dari masa ke semasa pokok ini di pindahkan secara berperingkat sehingga didedahkan kepada panas terik matahari lebih dari 50%. Untuk lebih jelas gambarannya pembaca boleh lihat gambar dibawah.


Pokok didedahkan dengan meletakkannya di hujung jaring teduhan

Pokok ini dipindahkan kehadapan secara berperingkat sehingga ke hujung jaring teduhan yang mana berada di sekitar bayangan pohon pokok tersebut (pokok putat). Proses ini mengambil masa sekitar 2 - 3 bulan untuk memberi ruang kepada pokok menyesuaikan persekitarannya kepada persekitaran baru.


Pandangan pokok Coelogyne asperata  dari sisi lain

Gambar dibawah merupakan anak pokok yang sedang membesar, jika berhajat untuk membiakkannya; ia bolehlah dipotong pada rhizomenya sekitar 3 - 4 'bulb'. Ia bolehlah di semai dengan memasukkan anak pokok tersebut di dalam pasu 4' - 6" dengan sedikit ketulan arang d dalamnya. Jika kita menyemai semula pokok ini, satu persoalan yang perlu di jawab, apakah yang perlu diusahakan supaya pokok ini terus membiak?


Di sini OdD kongsikan sedikit pengalaman yang OdD lakukan. Kebiasaannya selepas OdD memisahkan pokok dari induk asal, OdD akan tempatkan induk dan keratan yang siap ditanam dibawah tempat berbumbung dan OdD tidak akan menyiram pokok induk dan semaian selama kurang lebih 2 hari. Ini bagi memastikan luka disebabkan keratan rhizome cukup kering bagi mengelakkan jangkitan bakteria. Selepas termpoh 'bertenang' tersebut, barulah ia akan ditempatkan di tempat asal semula.

Siraman pada pokok keratan OdD akan siram sekali sehari, jika pada pagi harinyya hujan ; petangnya OdD tidak akan siram lagi. Terdapat pengecualian di sini, andainya pada musim kering, siraman pokok perlu pada kadar siraman 2 kali sehari.


Anak Coelogyne asperata pada rhizome baru

Jika diperhatikan anak pokok baru yang keluar pada habitatnya akan kelihatan seperti corong. Tujuannya untuk menyimpan air untuk sementara waktu. Dari pemerhatian OdD, kebiasaan air ini akan tersejat dalam tempoh sekitar 2 - 3 hari.

Membiarkan air bertakung di dalam corong ini akan mendedahkan kepada pembiakan bakteria dan kulat. Tanpa disedari, andai kata kadar sejatan mengambil masa yang terlalu lama ia akan mereput pada pangkal rhizomenya. Seandainya air yang sedia ada di limpahi dengan cairan baja yang digunakan ia akan menyebabkan pangkal tersebut lebih mudah rosak (mereput). Gambar di bawah OdD sertakan contoh anak pokok yang rosak (gugur di pangkal rhizome).

Anak pokok Coelogyne asperata yang reput di pangkal rhizome (Ehsan dari Siti Yang Kassim)
Sedikit panduan berdasarkan pengalaman OdD, sekiranya hendak membaja anak pokok yang baru di semai, sebaiknya kadar cairan baja perlulah lebih cair sekitar 25% dari kepekatan yang dicadangkan untuk pokok biasa.

Gambar di bawah OdD sertakan gambar keadaan pembesaran anak sehingga daunnya terbuka (nearly blooming size).








Pada keadaan daun yang terbuka begini(gambar di bawah) pokok orkid sudah selamat dari air bertakung dan sudah capai tahap matangnya

Anak pokok yang sudah matang

Anak pokok yang sudah matang dan sedia untuk berbunga
Semoga coretan ini memberi sedikit gambaran dan panduan berguna di masa hadapan kepada pembaca untuk menanam semula orkid jenis ini. OdD ucapkan selamat mencuba dan semoga berjaya.


No amount of experimentation can ever prove me right; a single experiment can prove me wrong ~ Albert Einstein
0 Responses